a

Selasa, 12 Mei 2009

Pengenalan


MAJLIS PENYERAHAN KUNCI oleh pemaju (Pasdec)kepada pemilik rumah (fasa 1) telah dibuat pada 11 september 2007. Fasa pertama meliputi rumah teres kos sederhana rendah (2 tingkat),rumah teres kos sederhana (1 tingkat) dan sebahagian dari rumah semi D.

Status penerimaan rumah kosong yang belum mendapat kelulusan menduduki
(CFO)mengambil masa selama dua minggu untuk diluluskan oleh pihak perbandaran MPK.

Pada 24/09/07 (CFO) telah diluluskan.Permohonan untuk mendapatkan bekalan elektrik pula dibuat pada 01/10/2007 setelah mendapat kelulusan sijil menduduki dari pihak Perbandaran Kuantan. Penyaluran elektrik kepada perumahan tersebut juga mengambil masa hampir dua minggu untuk disalurkan. Ianya disebabkan oleh berlakunya kecurian kabel TNB di stesen janakuasa yang terletak dalam perumahan ini, menyebabkan bekalan elektrik terlewat disalurkan.
Petengahan bulan Oktober 2007 bersamaan juga dengan pertengahan bulan Ramadhan 1428 hijrah, Penghuni terawal sekali yang menduduki di sini iaitu penghuni rumah teres bertingkat beralamat (No.9) di Jalan Balok Permai 1, yang pertama menduduki di perumahan ini. Dan seterusnya diikuti dengan rumah-rumah lain yang kebanyakannya berpindah selepas menyambut hari raya Aidil-Fitri.

Hampir enam bulan perumahan ini dibuka dan banyak rumah-rumah yang dulunya kosong telah mula diduduki, namun ada sebahagian penghuni yang menetap di perumahan ini masih tidak mengenali antara satu sama lain, pendek kata mereka hanya buat hal masing-masing.

Mungkin juga tiada apa kegiatan dalam masyarakat ketika itu yang dapat mengeratkan hubungan sesama penghuni, malah surau pun ketika itu masih belum beroperasi, walaupun pihak pemaju telah menyediakan kemudahan tersebut, mungkin ada yang beranggapan kita tunggu dan lihat sahaja.
Cetusan idea dari saudara Ahmad Sufian iaitu Pengerusi KRT sekarang, Mengambil daya inisiatif mengumpul penduduk bagi mengadakan perjumpaan telah membuka lembaran baru bagi penghuni perumahan Balok Permai.

Pertemuan pertama dengan penduduk telah diadakan pada 2/3/08 (Ahad) jam 9 malam. Seramai 26 orang penduduk taman hadir dalam pertemuan tersebut. Perbincangan pertama hanya diadakan di tepi jalan saja, di hadapan taman permainan kanak-kanak Jalan Balok Permai satu. Mungkin disebabkan semangat dan kesungguhan yang ada dikalangan yang hadir pada malam tersebut tiada masalah walaupun perjumpaan dan perbincangan di adakan ditepi jalan.

Agenda perbincangan utama adalah untuk menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT)di perumahan ini. Ianya berpunca setelah didapati kawasan perumahan ini telah berlaku kecurian dan kehilangan hartabenda. Bagi menghindarkan perkara tersebut dari berulang semula, langkah mengawal perlu diwujudkan dan KRT hendak ditubuhkan dengan segera.
    Kawasan padang inilah tempat permulaan mesyuarat diadakan


Sewaktu tengah bermesyuarat hujan mulai turun. Perbincangan berpindah pula ke surau walaupun pada masa itu surau masih belum lagi disambungkan bekalan elektrik. Dengan hanya berbekalkan lampu bateri perbincangan tetap juga diteruskan sehingga kata sepakat diputuskan dan AJK dilantik sebagai teras pembentukan.

Pengerusi Ahmad Sufian bin Abd Rajab. Timb. Pengerusi pula Abu Bakar Mustafa , Setiausaha Abdullah Sabil dan Bendahari Al-Haras serta Abd. Raha. Dari intipati perbincangan tersebut telah diputuskan, Langkah terawal perlu pada penyatuan.

Di sini tiada jalan dan tiada pendekatan, melainkan mengikut petunjuk yang telah terbentang, melalui Sunnah dan kitab Al-Quran,sebagai pedoman umat Islam. Paling utama kita mengerakkan usaha, bagi memulakan operasi surau sebagai tempat bersatu, menghidupkan aktiviti dengan mengadakan program keagamaan dengan amalan berjamaah dan ,di sini dapat menyatukan hati-hati, berkenal-kenalan dan mengeratkan hubungan sesama penduduk sebelum melangkah seterusnya menubuhkan K.R.T.

 Surau yang didirikan oleh pihak pemaju untuk penduduk perumahan Balok Permai


Berkat usaha kerja Pengerusi dan pihak AJK yang bersusah payah mengurus dan menghubungi pihak yang bertanggungjawab pada 3.3.08 (Isnin) Azan Maghrib pertama telah dilaungkan di surau tersebut oleh Setiausaha dan Imam Solat Maghrib ialah Abd Raha. Maka bermulalah detik perasmian operasi bersembahyang berjamaah di surau Taman Perumahan Balok Permai ini.

Kehadiran jamaah boleh dibanggakan. Surau yang sebelum ini sepi dan gelap gelita, kini telah mula diterangi cahaya lampu dan mula menampakan suasana hubungan muafakat antara penghuni. Ibarat kalkatu akan datang bila nampak cahaya terang.
Mesyuarat kedua diadakan untuk mengumpul dana bagi menyediakan keperluan surau. Keputusan mengutip RM 20.00 untuk satu keluarga telah dilancarkan. Selain itu Pengerusi memaklumkan bahawa satu perjumpaan akan diadakan di surau ini, untuk memberi penerangan tentang penubuhan K.R.T oleh pihak Jabatan Perpaduan Daerah Kuantan. Perjumpaan itu diadakan seminggu selepas dari itu bersama dengan Pegawai Polis Beserah dan Ketua Kampong Balok. Permohonan KRT telah dibuat pada awal bulan April 2008.